Ahad, 19 Ogos 2018

HAYATI ERTI SEBENAR IBADAH KORBAN:AZHAR

Azhar (dua dari kanan) bersama
sebahagian dari pengerusi masjid dan surau
Kawasan DUN Karambunai
yang menerima sumbangan tersebut

KARAMBUNAI : Ibadah korban yang akan dilaksanakan oleh umat Islam diharap dapat dihayati dengan sepenuh hati serta memantapkan tahap pengorbanan diri kepada agama, bangsa dan tanah air.

Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah Azhar Datuk Matusin berkata, menjadi perkara penting bagi umat Islam untuk memahami maksud dan pengertian di sebalik sejarah penting itu terhadap kehidupan seharian sebagai umat Islam sejati.

 Katanya, menerusi kefahaman mendalam berhubung amalan tersebut, ia bukan sahaja mampu mendorong seseorang itu untuk memiliki sikap serta jati diri mapan, malah memberi manfaat kepada seluruh alam. “Umat Islam perlu menghayati dan menterjemahkan pengertian ibadah korban dalam kehidupan seharian bagi membolehkan mereka memiliki daya saing serta mempunyai jati diri yang kuat bagi menghadapi cabaran semasa.

 “Dunia sekarang yang semakin mencabar menuntut setiap individu untuk lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan, malah sedia berkorban demi agama, bangsa dan negara," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan lembu untuk ibadah korban sempana sambutan Hari Raya Aidiladha bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Karambunai di Masjid Kauthar kampung Karambunai di sini semalam.

Azhar ketika menyerahkan sumbangan kepada
salah seorang pengerusi masjid
Semasa majlis tersebut

Dalam majlis tersebut, sebanyak 20 ekor lembu diagih-agihkan untuk beberapa buah masjid dan surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Karambunai.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, selain meraikan hari kebesaran tersebut dengan penuh rasa syukur, umat Islam perlu melihat permasalahan yang dihadapi oleh saudara Islam lain terutama mereka yang tidak bernasib baik.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, perkara seumpama itu seharusnya menjadi satu keinsafan dan pengajaran berguna bagi menilai diri terhadap segala nikmat yang dikurniakan oleh Yang Maha Esa.

Jelasnya, nikmat kemakmuran dan kemerdekaan yang dikecapi oleh negara selama ini seharusnya dipertahan agar terus kekal kukuh, seterusnya berusaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju jaya.

“Marilah kita bersama-sama menyambut kehadiran Hari Raya Aidiladha ini dengan penuh keinsafan dan kesyukuran, malah sentiasa sedia mengorbankan kepentingan peribadi demi kekuatan ummah," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan