Khamis, 14 November 2019

Pendidikan,Tadika, Prasekolah, Taska Komponen Penting Dalam Sistem Pendidikan Negara

Jamawi menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang guru sempana majlis tersebut.

TENOM: Pendidikan tabika,taska dan  pra-sekolah kini diiktiraf sebagai komponen penting dalam sistem pendidikan negara yang berupaya melahir, membangun dan mengembangkan potensi kanak-kanak secara holistik selain melengkapkan mereka dengan pelbagai kebolehan, ilmu dan kemahiran yang diperlukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kemabong Jamawi Jaafar  berkata saban tahun kerajaan menyediakan peruntukan yang begitu besar untuk membangunkan sektor pendidikan di negara ini.

“Melalui pendidikan pra-sekolah,tabika,taska potensi-kanak-kanak dapat dibangunkan supaya mereka ini berkembang secara holistik serta dilengkapi dengan kebolehan, ilmu dan kemahiran.

“Perkembangan ini penting kerana akhirnya nanti mereka akan menjadi anggota negara yang produktif dan berkualiti serta bakal mengendalikan pentadbiran dan ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan majlis  Hari Aspresiasi Taska,Tabika Kemas Parlimen Tenom di dewan masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom dekat sini pagi kemarin.



Jamawi ketika berucap merasmikan majlis tersebut.

Menurut Jamawi rakyat seharusnya bersyukur kerana kerajaan meletakkan usaha membina modal insan sebagai agenda teras kepada kejayaan bangsa dan negara dan ia seharusnya bermula dari usia awal lagi.

Tambah Jamawi saban tahun bajet  dalam bidang pendidikan termasuk pendidikan pra sekolah dan tabika kemas disediakan oleh kerajaan  bagi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan yang sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif.

"Pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti  penting disamping mengurangkan kadar keciciran sekolah di kalangan kanak-kanak yang boleh membantutkan usaha membangunkan modal insan cemerlang bagi keperluan pembangunan negara pada masa akan datang" katanya.


Menurut Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan  ,komitmen kerajaan dalam menyediakan prasarana pendidikan di negara ini termasuk pelbagai bantuan lain buku teks, makanan tambahan dan lain lain bantuan bertujuan untuk  memberi peluang kepada setiap kanak-kanak luar bandar dan golongan berpendapatan rendah untuk mengikuti program pendidikan awal yang berkualiti yakni selari dengan prinsip tiada kanak-kanak dipinggirkan.

" Ibubapa perlu memanfaatkan segala peluang dan kemudahan yang disediakan ini bukan sahaja mempastikan anak anak mereka mendapat pendidikan awal namun dalam masa yang sama terus memberikan dorongan dan galakan agar anak-anak mereka sentiasa cemerlang dalam pembelajaran sejak di usia kanak kanak lagi" tambah Jamawi 

Seramai 339 pelajar taska dan tabika Kemas dari kawasan Parlimen Tenom menerima sijil mereka masing masing pada majlis tersebut.



0 ulasan:

Catat Ulasan