Selasa, 26 November 2019

KEKALKAN KEHARMONIAN ARIFIN

Arifin menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima sempana majlis tersebutl

Oleh KC


MEMBAKUT : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Arifin Arif menggesa umat Islam khususnya di daerah ini dan sekitarnya supaya bersatu bagi mengekalkan keharmonian yang dikecapi hari ini.

Beliau mahu umat Islam mengambil peluang sempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang diadakan setiap tahun supaya menguatkan semangat kesatuan dalam diri bagi memastikan negara terus aman dan makmur.

Arifin (tengah) bersama penerima-penerima Anugreh penghargaan sempana majlis tersebut.

Katanya, bagi memastikan umat Islam lebih maju ke hadapan dalam dunia yang penuh dengan pelbagai cabaran masa kini, mereka harus berdiri teguh dan kekal bersatu bagi mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Sempena dengan sambutan Maulidur Rasul ini, marilah kita kekal bersatu bagi memelihara bukan sahaja perpaduan dalam kalangan rakyat tetapi juga keharmonian yang dikecapi hari ini.

"Sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih penting, iaitu perpaduan. Kerana tanpanya, sukar untuk negara maju ke hadapan dan merealisasikan sebarang perancangan pembangunan untuk seluruh rakyat, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat kampung Brunei, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Arifin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh masyarakat dan pemimpin akar umbi yang terlibat dalam sambutan Maulidur Rasul yang diadakan di peringkat kampung.

Beliau berharap, ia bukan sahaja dapat meningkatkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Islam tetapi juga dapat memberikan impak yang baik dalam kehidupan bermasyarakat.

"Semoga kita dapat memperbaiki kehidupan masing-masing dan pada masa sama mengajar generasi muda Islam hari ini supaya terus menjaga keharmonian demi masa depan yang lebih baik, " katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan