![]() |
| Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal |
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam melancarkan Pelan Pembangunan Pertanian Sabah 2021-2030 sebagai rangka tindakan selaras dengan hala tuju serta aspirasi kerajaan negeri ke arah memperkasakan lagi pembangunan sektor pertanian negeri.
Pelan pembangunan itu antara lain menggariskan objektif untuk meningkatkan produktiviti, kualiti dan kuantiti pengeluaran sektor pertanian negeri merangkumi tanaman, perikanan dan ternakan selain memastikan pemain industri pertanian lebih berdaya saing sekali gus seiring dengan kepesatan pembangunan teknologi menerusi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Mohd Shafie berkata dalam tempoh 10 tahun akan datang, sektor pertanian perlu dipacu dan melangkah dalam kerangka IR 4.0 berikutan penggunaan teknologi terkini sangat kritikal untuk meningkatkan lagi produktiviti sektor itu ke tahap lebih tinggi.
“Sabah harus bergerak pantas seiring dengan perkembangan itu untuk berada di hadapan. Pengeluaran hasil pertanian produktif dan bernilai tinggi menyumbang kepada bekalan makanan mencukupi dan pertumbuhan ekonomi negeri melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya ketika melancarkan pelan itu Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, di sini. Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Junz Wong.
Mohd Shafie berkata sektor pertanian adalah teras ekonomi negeri apabila ia menyumbang secara purata kira-kira 24 peratus kepada KDNK Sabah pada 2010 hingga 2017, dan pada 2010 hingga 2014 pula, sektor pertanian adalah penyumbang kedua tertinggi kepada KDNK negeri selepas sektor perkhidmatan.
Pada 2018, katanya sebanyak 0.5 juta atau 38 peratus daripada 1.3 juta jumlah tenaga buruh di Sabah adalah dalam sektor pertanian dan ini membuktikan sektor tersebut memainkan peranan penting dalam menjamin sumber makanan mencukupi bagi rakyatnya.
“Sektor pertanian turut menyediakan sumber pendapatan kepada petani, penternak dan nelayan. Ia perlu terus berkembang ke tahap lebih tinggi bagi memberi manfaat bukan sahaja kepada rakyat dan Sabah tetapi juga di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Katanya rantaian nilai komoditi pertanian bermula daripada huluan dan hiliran dan dalam pada itu pemasaran juga perlu dikendalikan dengan lancar kerana ia penting bagi melonjakkan lagi potensi sektor pertanian Sabah, sebuah negeri yang mempunyai kekayaan tanah dan sumber alam tersendiri.
Aspek pemasaran hasil pertanian sangat kritikal bagi memastikan segala usaha petani, penternak dan nelayan memberi pulangan lumayan yang dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka, katanya.
“Aktiviti hiliran pertanian masih rendah dan kurang diterokai. Saya ingin melihat ia dikembangkan dalam seluruh rantaian nilai,” katanya.
Mohd Shafie juga mahu pembangunan dan penyelidikan (R&D) diperkasakan kerana ia berperanan penting untuk mempelbagaikan lagi produk hiliran pertanian selain cetusan inovasi menerusi R&D dilihat mampu menjadikan Sabah sebagai pengeluar makanan berkualiti untuk keperluan domestik dan eksport.
“Inilah antara aspirasi sektor pertanian Sabah. Saya yakin melalui R&D dan inovasi, kuantiti dan kualiti hasil pertanian dapat ditingkatkan tanpa menggunakan keluasan tanah yang banyak,” katanya.
— BERNAMA







0 ulasan:
Catat Ulasan