Khamis, 14 November 2019

KERJASAMA KERAJAAN DAN SWASTA PERCEPATKAN PROSES PEMBANGUNAN: DR YUSOF

SEBAHAGIAN pelajar dari empat sekolah menengah yang mendapat bantuan program Kembali ke Sekolah 2019 anjuran Yayasan Sime Darby di Sipitang.

SIPITANG: Pembangunan sebuah negara atau satu-satu kawasan adalah didukung melalui kerjasama  pihak swasta dengan kerajaan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata kerajaan menyediakan Infrastruktur dan beberapa bantuan kepada rakyatnya tetapi hakikatnya swasta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan juga ekonomi rakyat

"Swasta telah menyediakan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat di negara ini. Sehubungan itu saya berharap kakitangan kerajaan dan rakyat  sentiasa memberikan kerjasama yang baik kepada pihak swasta," katanya ketika berucap merasmikan Program Kembali ke Sekolah 2019 anjuran Yayasan Sime Darby di sini pada Khamis.
DR YUSOF kelihatan berswafoto bersama pelajar selepas program Kembali ke Sekolah 2019 anjuran Yayasan Sime Darby di Sipitang

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime DARBY (YSD), Dr Yatela Zainal Abidin, Presiden Rotary Club Kota Kinabalu, Dr Kamaruzaman Ampon, Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC), Datuk Ramlee Dua, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Dun Sindumin, Pg Mohd Yacob Pg Omar, Ketua Daerah Sipitang, OKK Hj Kamis Daming dan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang, Azri Ajak.

Dr Yusof yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata kerjasama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang erat antara Yayasan
Sime Darby dan RCKK serta sumbangan berterusan mereka wajar dicontohi oleh badan korporat dan badan bukan kerajaan.
PEMANDANGAN dalam Dewan Serbaguna Sipitang pada majlis perasmian program Kembali ke Sekolah 2019 anjuran Yayasan Sime Darby.


"Sebaagai contoh, Rotary Club Kota Kinabalu (RCKK) bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Antara inisiatif RCKK yang memberi impak besar kepada masyarakat di Sabah
adaah seperti kempen kesedaran dan
rawatan katarak dan projek ‘gravity water’ di kawasan pedalaman. Syabas
diucapkan kepada pihak RCKK atas usaha murni untuk sentiasa membantu
masyarakat yang memerlukan di Sabah sejak ia ditubuhkan pada tahun 1952, " katanya.

Beliau berkata, Sabah merupakan negeri yang paling banyak menerima sumbangan daripada Yayasan Sime Darby terutamanya dalam inisiatif melindungi dan memelihara
alam sekitar, bantuan pendidikan kepada pelajar miskin serta usaha untuk
menyediakan infrastruktur pendidikan di sekolah pedalaman melalui projek
“Asrama Desa”.

"Semoga segala kerjasama dan usaha-usaha dalam membantu masyarakat di Sipitang dapat meringankan beban para ibu bapa dan memberi galakan dan
motivasi kepada para pelajar untuk hadir ke sekolah dan berjaya dalam Pelajaran," katanya

Beliau seterusnya menyeru agar ibu bapa terus komited mempastikan anak-anak mendapat pendidikan yang baik kerana ianya sangat penting dan  mampu menjadi medium utama mengubah nasib keluarga.

"Saya juga amat berharap dan mahu  pelajar-pelajar memahami dan menghayati Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0) dan bersedia untuk menghadapi Revolusi Industri secara berterusan," katanya.

Sementara itu Dr Yatela dalam ucapannya memaklumkan pada tahun ini, daerah Sipitang terpilih untuk menerima bantuan daripada pihak YSD.

Katanya seramai 1,412 pelajar dari empat buah sekolah menengah  di sini  iaitu SMK Sindumin seramai 199 pelajar, SMK Pengiran Omar (496) , SMK Pengiran Omar II (347) dan SMK Padang Berempah (370) layak menerima bantuan tersebut.

Dr Yatela juga berkata, selain Daerah Sipitang, melalui  kerjasama RCKK, Yayasan Sime Darby dan Yayasan Sejahtera, bantuan kembali ke sekolah juga telah diberikan  kepada 157 pelajar di SK Suang Punggur, Kota Belud pada tahun ini.







0 ulasan:

Catat Ulasan