Sabtu, 30 November 2019

NABI MUHAMMAD CONTOH TERBAIK DALAM MENJAGA PERPADUAN

Jamawi mengetuai perarakan sempana sambutan tersebut

KEMABONG:
Mengambil contoh terbaik Rasullullah dalam mencorak peradaban hidup bermasyarakat dan menghidupkan semangat perpaduan dalam era yang penuh mencabar ini ,Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kemabong Jamawi Jaafar menyeru umat Islam sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan menghormati perbezaan yang ada.


Katanya sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini'Negara Rahmah, Ummah Sejahtera', umat Islam perlu saling berpegang teguh mengikut ajaran Sunnah Wal Jamaah dalam semangat perpaduan bersama.

" Dalam masa yang sama umat Islam perlu menjadikan keperibadian unggul Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai model terbaik membentuk ukhwah dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini" katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Kemabong di dataran terbuka Kemabong kemarin.
Penceramah jemputan ustaz Malai Ali Malai Ahmad menyampaikan ceramah agama sempana majlis tersebut

Katanya, Rasullullah SAW diutuskan ke dunia ini sebagai pembawa rahmat yang memberi petunjuk kepada manusia sekalian alam untuk saling mengasihi saudara yang lain meskipun berlainan agama dan ideologi.

"Peristiwa bersejarah Islam yang melakar erti perpaduan sebenar, direkodkan menerusi Piagam Madinah yang diasaskan Nabi Muhammad SAW pada tahun 622 Masihi bersamaan tahun Pertama Hijrah" 

"Menerusinya kota Madinah menjadi saksi pusat perpaduan rakyat pelbagai bangsa dan agama dan Islam sebagai paksinya" katanya 

Jamawi menyampaikan hadiah kemenangan kepada salah seorang pemenang pertandingan yang diadakan sempana majlis tersebut

Menurut Jamawi yang juga Ketua Belia Usia Sabah, umat islam hendaklah mencerna akhlak dan budi pekerti yang diajarkan nabi Muhammad SAW dalam memelihara perpaduan dengan orang bukan Islam.

Jelasnya bagi mengembalikan kegemilangan umat islam supaya dapat hidup dalam suasana yang bersatu padu adalah antaranya dengan meningkatkan kecintaan kepada nabi Muhammad SAW, menghidupkan sunnah Baginda dalam kehidupan, sentiasa membaca kisah-kisah nabi serta berselawat keatas nabi Muhammad SAW.

" Alhamdulillah di kawasan ini khususnya di Kemabong walaupun kita terdiri dari pelbagai bangsa,agama dan kepercayaan tahap keharmonian kita masih terpelihara dan wajar dipertahankan bagi memudahkan pihak kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kesejahteraan rakyat" tambah Jamawi.

Hadir sama di majlis tersebut Penolong Pegawai daerah kecil Kembong Djamaludin Kamaruddin dimana majlis turut diisi dengan program ilmu dengan ceramah agama yang disampaikan oleh pendakwah bebas Ustaz Malai Ali Malai Ahmad.

0 ulasan:

Catat Ulasan