![]() |
| BELANJAWAN RAKYAT: Shafie memegang salinan teks ucapan Belanjawan Sabah 2020 di persidangan DUN. |
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal petang tadi membentangkan Belanjawan berjumlah RM4.143 bilion untuk pembangunan dan mengurus tahun depan.
Dengan tema 'Merancakkan Pembangunan Untuk Kesejahteraan Rakyat', ia adalah belanjawan lebihan dengan mengambil kira anggaran kutipan hasil sebanyak RM4.192 bilion, iaitu lebihan RM48.55 juta.
Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2020) 2019 di Dewan Undangan Negeri Sabah, Shafie yang juga Menteri Kewangan berkata ia menunjukkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri kekal dalam kedudukan yang sihat dan stabil.
"Anggaran kutipan hasil pada 2020 melibatkan penurunan sebanyak RM72.6 juta berbanding anggaran asal 2019 iaitu berjumlah RM4.265 bilion," katanya.
Beliau berkata anggaran hasil negeri 2020 terdiri daripada hasil cukai berjumlah RM1.031 bilion, hasil bukan cukai RM2.697 bilion dan terimaan bukan hasil berjumlah RM463.3 juta.
Katanya, royalti petroleum dijangkakan kekal sebagai penyumbang tertinggi kepada hasil negeri pada 2020 dengan anggaran sebanyak RM1.7 bilion.
Menurutnya, cukai jualan minyak sawit mentah dijangkakan mampu dikutip sebanyak RM825 juta pada tahun hadapan.
"Anggaran kutipan hasil cukai jualan negeri ke atas tiket loteri 2020 dijangka kekal dengan jumlah tahun iaitu sebanyak RM60 juta.
"Jumlah kutipan hasil daripada cukai jualan mesin slot akan menurun mendadak daripada RM18 juta kepada hanya RM1.5 juta sahaja berikutan dasar kerajaan negeri untuk menghentikan kegiatan judi atau pertaruhan melalui mesin slot," katanya.
Shafie berkata di bawah terimaan bukan hasil, sumbangan kerajaan persekutuan bagi tahun depan dijangkakan sebanyak RM463.2 juta daripada keseluruhan anggaran hasil negeri 2020.
Katanya, daripada keseluruhan anggaran perbekalan 2020, sejumlah RM739.59 juta disyorkan untuk emolumen.
"Perbelanjaan berulang disyorkan sebanyak RM1.495 bilion pada tahun hadapan yang melibatkan peningkatan sebanyak RM123.94 juta.
"Kenaikan perbelanjaan itu mengambil kira peningkatan peruntukan khas, pemberian kepada dana pembangunan usahawan kecil, bantuan am, bantuan kepada anak yatim dan miskin, keusahawanan wanita dan ibu tunggal, caruman kepada pihak berkuasa tempatan dan program-program di bawah jabatan kerja raya berulang," katanya.
Katanya, bagi perbelanjaan khas, sebanyak RM1.908 bilion telah dicadangkan pada tahun hadapan.
Shafie berkata, anggaran perbelanjaan pembangunan 2020 adalah sebanyak RM960.91 juta. Ianya terdiri daripada peruntukan kerajaan Sabah sebanyak RM735.64 juta dan peruntukan kerajaan persekutuan berjumlah RM225.27 juta.
Jelasnya, peruntukan kerajaan persekutuan berkenaan terdiri daripada pembayaran imbuh balik persekutuan berjumlah RM38.48 juta dan pinjaman persekutuann sebanyak RM186.79 juta.
"Sektor utama negeri iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian juga diperuntukan sebanyak RM896.32 juta pada tahun hadapan," katanya.
O







0 ulasan:
Catat Ulasan