![]() |
| SIDANG MEDIA..DR.Xavier Jayakumar Arulananda semasa sidang media tersebut |
KOTA KINABALU : Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar Arulananda berkata segala projek pembangunan di masa hadapan di bawah kementeriannya akan dibuat secara terbuka dan bukan sebaliknya.
Menurutnya, sejak mengambil alih kementerian terbabit beliau mendapati kerajaan terdahulu mengamalkan sistem 'direct negotiatied' atau tender terhad terhadap sebarang projek.
"Untuk makluman, 95 peratus kontrak dalam kementerian tidak melalui proses yang sepatutnya.
"Untuk negeri Sabah, kita (kementerian) telah membatalkan semua projek yang tidak melalui saluran yang betul. Namun kita telah membuka tender itu semula supaya ia melalui proses terbuka, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu sidang media khas yang diadakan di ibu negeri, kelmarin.
Xavier mengadakan lawatan rasmi ke Sabah bagi bertemu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal bagi membincangkan segala isu berkaitan keperluan negeri untuk dimasukkan dalam Bajet 2019 yang akan dibentangkan, Jumaat ini.
Selain bertemu dengan Ketua Menteri beliau juga bertemu dengan pemimpin serta ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di peringkat akar umbi.
Beliau berkata pertemuan tersebut adalah penting bagi mengetahui keadaan di Sabah terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Xavier memberitahu terdapat dua keperluan penting di Sabah iaitu berhubung air dan letrik, justeru kementeriannya akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membawa pembangunan untuk manfaat rakyat Sabah.
"Saya yakin kita (kerajaan pusat) dapat mengatasi segala isu rakyat memandangkan kita sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri berhubung perkara terbabit. Saya bersedia mendengar apa sahaja aspirasi dan harapan rakyat yang dibawa ke perjumpaan 'meja bulat', " katanya.
- - TAMAT - -







0 ulasan:
Catat Ulasan