Rabu, 10 Oktober 2018

PERBANYAK PROGRAM MEMBERI MANAFAAT KEPADA BELIA: JAMAWI


Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kemabong Burnley Balang yang mewakili Jamawi menyampaikan hadiah kemenangan kepada pasukan yang menyertai kejohanan tersebut

KEMABONG  Masyarakat khususnya persatuan persatuan belia di negeri ini digesa untuk memberi perhatian kepada golongan belia di kawasan masing-masing bagi memastikan kumpulan tersebut tidak tersasar atau terjebak dengan aktiviti yang tidak bermanfaat.

Wakil Rakyat Kawasan Kemabong Jamawi Jaafar  berkata, kewujudan pelbagai teknologi canggih menyebabkan golongan belia amat terdedah untuk mencuba perkara baharu.

"Di sinilah peranan  persatuan belia,masyarakat dan ahli keluarga untuk membimbing belia kerana mereka adalah golongan yang mudah dipengaruhi.

''Tanpa adanya perhatian serta pengawasan, sudah tentu golongan ini mudah untuk terpesong ekoran gelodak jiwa muda.

"Sehubungan itu, golongan belia perlu dibantu oleh masyarakat untuk menjauhi perkara yang tidak bermanfaat dan penganjuran program bermanfaat perlu ditambah dari masa ke semasa," katanya ketika berucap merasmikan kejohanan Sepak Takraw di kampung Paal seberang Kemabong baru baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya Pemimpin Pembangunan masyarakat  DUN Kemabong Burnley Balang.

Mengulas lanjut, Jamawi yang juga Ketua Badan Belia Usia Pusat  berkata, selain terdedah dengan pengaruh alam siber, golongan tersebut turut menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab yang berniat untuk meracuni pemikiran mereka.

"Kita tidak mahu golongan belia menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab yang cuba merosakkan masa depan negara," katanya.

Sehubungan itu beliau berharap masyarakat setempat termasuk badan badan belia dan NGO membantu kerajaan menganjurkan program bermanfaat kepada golongan belia bagi mengisi ilmu di dada.

Jelasnya, hanya ilmu bermanfaat akan dapat membantu golongan belia untuk membuat pertimbangan positif dalam menentukan arah tuju dan menepis hasutan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

Selain dari itu juga Jamawi turut menyarankan agar belia yang belum berpersatuan  dapat menubuhkan persatuan belia di kampung masing masing yang mana menurut beliau langkah ini memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan untuk kepentingan kaum belia.


0 ulasan:

Catat Ulasan