Ahad, 28 Oktober 2018

GOTONG ROYONG PERLU DIJADIKAN AMALAN BERTERUSAN JAMAWI


Jamawi (tengah) bersama penduduk kampung Sugiang Baru yang menyertai gotong royong tersebut

KEMABONG: Program gotong-royong perlu dijadikan amalan yang berterusan dalam komuniti kerana mampu memantapkan perpaduan masyarakat, selain memupuk sikap prihatin untuk saling menghulurkan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kemabong Jamawi Jaafar berkata, soal perbezaan fahaman politik perlu diabaikan demi kebaikan bersama untuk tampil beramal sosial dalam setiap program kemasyarakatan yang dianjurkan pelbagai pihak.

Jamawi  berkata, bagi mereka yang berkemampuan untuk menghulurkan sumbangan material wajar membantu golongan yang memerlukan dan bagi yang tidak berkemampuan, bantuan tenaga, kepakaran dan sumbangan idea mereka amat bernilai.

"Tradisi gotong-royong yang menjadi amalan masyarakat kita  di kampung semakin terhakis disebabkan oleh keadaan semasa termasuk terlalu sibuk dengan pekerjaan, kurangnya penganjuran program dan sikap segelintir masyarakat yang membataskan penglibatan mereka disebabkan pengaruh fahaman politik yang berbeza.

"Dalam komuniti, kita perlu bersatu padu. Kerja amal dan bergotong-royong perlu diteruskan sebagai satu warisan dan budaya.

"Jangan jadikan perbezaan fahaman politik sebagai penghalang atau batasan yang membelenggu kerja amal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyertai penduduk kampung  dalam  gotong-royong membersihkan persekitaran kampung Sugiang Baru  dekat sini Kemarin.

Jamawi turut mengagih-agihkan jamuan kepada penduduk kampung yang menyertai gotong royong tersebut

Sehubungan dengan itu Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong kerajaan berharap kerjasama serta terdisi masyarakat dalam melaksanakan kegiatan berpasukan khususnya di kampung tersebut perlu dikekalkan

"Saya bersyukur dan gembira apabila mendapati semua penduduk tanpa mengira  golongan dan parti politik tampil menjayakan program yang dianjurkan , Ini menyerlahkan perpaduan dalam komuniti," katanya

0 ulasan:

Catat Ulasan