Jumaat, 19 Oktober 2018

JENAYAH BUKAN HANYA TANGGUNGJAWAB PDRM :ABDUL RAHMAN


Abdul Rahman menerima cendera kenangan dari Pegawai Perpaduan Daerah selepas merasmikan program tersebut

KUALA PENYU : Tugas mencegah jenayah bukan terletak sepenuhnya di bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi ia tanggungjawab setiap masyarakat di negeri ini.

Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Haji Abdul Rahman Yakub berkata kerjasama serius masyarakat amat diperlu bagi meningkatkan keyakinan polis melaksanakan tugas demi keamanan semua pihak.

“Tugas mencegah jenayah tidak seharusnya kita serahkan sebulat-bulatnya pada bahu polis sebaliknya kerjasama semua masyarakat tampil ke hadapan dalam memberi maklumat amat perlu untuk bersama-sama mencegah jenayah  di negeri ini,” katanya.

Abdul Rahman  merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan  Baitulmal Negeri Sabah berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Silaturahim dan Ceramah mencegah jenayah bersama Polis Diraja Malaysia dan Agensi Dadah Kebangsaan anjuran Kawasan Rukun Tetangga kampung Kiaru dekat sini baru baru ini.

Abdul Rahman ketika diwawancara media selepas merasmikan majlis tersebut

Menurut Abdul Rahman walaupun tanggungjawab memerangi jenayah adalah tugas utama PDRM, namun tanpa kerjasama dan sokongan masyarakat, usaha itu sukar dipenuhi.

"Masyarakat perlu tahu perlakuan jenayah dan gejala sosial datangnya daripada masyarakat sendiri. Justeru, masyarakat juga bertanggungjawab untuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat" katanya

Abdul Rahman ketika berucap merasmikan majlis tersebut

Menurut beliau masyarakat perlu bergerak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang fokus membantu mencegah jenayah dan tampil ke hadapan dalam pelbagai kaedah ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat

“Jika terdapat kejadian jenayah, serahkan kepada polis membuat tindakan selanjutnya, jangan mengambil tindakan sendiri serta menviralkan informasi tangkapan jenayah kepada netizen,” jelasnya.

FIKRAHMAYA.BLOGSPOT.COM

0 ulasan:

Catat Ulasan