PETALING JAYA: Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan parti itu menerima permohonan keahlian bekas menteri komunikasi dan multimedia, Salleh Said Keruak melalui atas talian.
Beliau dalam kenyataan malam ini berkata, Biro Politik PKR akan membincang dan memberi pertimbangan dalam mesyuarat akan datang.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Sabah, Kenny Chua berkata permohonan Salleh Ji perlu melalui PKR Bahagian Kota Belud dan kepimpinan negeri terlebih dahulu.
“Kita biar Mustapha Sakmud yang juga ketua bahagian meneliti permohonan itu dan membuat pengumuman jika perlu,” katanya ketika dihubungi FMT.
Mustapha juga timbalan ketua PKR Sabah.
![]() |
| Salleh (kiri ) bersama Anwar dan Pendekar Amin semasa lawatan Presiden PKR ke Kota Belud baru baru ini |
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan semakan status keahlian PKR menunjukkan Salleh berdaftar sebagai ahli PKR Bahagian Kota Belud pada 25 Ogos lalu, dengan nombor keahlian S0300008562.
Pada 6 Sept lalu, Ketua penerangan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Musli Oli dipetik FMT sebagai berkata, Salleh dan bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia akan menyertai PKR yang dilihat parti berpengaruh dan kedudukan parti itu dalam kerajaan pusat.
Salleh bagaimanapun menafikan spekulasi beliau akan menyertai PKR.
Salleh dan Pandikar menerajui Pertubuhan Bumis Bersatu Sabah (Usbo), sebuah pertubuhan menjaga kebajikan komuniti Bajau, khasnya di pantai barat Sabah.
Salleh ialah anak Mohammad Said Keruak, bekas ketua menteri dan Yang di-Pertua Sabah pada pertengahan 1970-an.
Salleh dilantik sebagai ketua menteri dari 1994 hingga 1996, speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dari 2010 hingga 2015 serta menteri komunikasi dan multimedia dari Julai 2015 hingga Mei 2018.
Beliau bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud pada pilihan raya umum 2018, tetapi tewas kepada sepupunya dari Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis.
Sumber FMT









0 ulasan:
Catat Ulasan