Rabu, 23 Oktober 2019

GERBAK KERETA API JUGA PERLU DINAIK TARAF JAMAWI

Jamawi bersama isteri turut merasai pengalaman menaiki kereta api bersama pengguna dari Tenom ke Pangi

TENOM: Projek menaik taraf landasan kereta api di antara Stesen Halogilat, Beaufort ke Stesen Tenom, di sini, perlu disusuli penyediaan gerabak kereta api yang lebih selesa bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kereta api di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar, menjelaskan langkah itu perlu bagi membolehkan pengguna perkhidmatan berkenaan bukan saja menikmati perjalanan yang lancar, malah selesa menggunakannya.
Jamawi menunjukkan isyarat terbaik pada salah satu gerbak keretapi yang tempat duduknya sudah dinaik taraf


Perkara itu, katanya, perlu diberikan perhatian kerana kebanyakan gerabak kereta api yang digunakan sekarang, khususnya bagi laluan di antara Beaufort dan Tenom dalam keadaan usang dan tidak selesa.

“Kita berharap bukan saja laluan yang dinaik taraf, namun gerabak penumpang kereta api juga perlu dinaik taraf agar pengguna lebih selesa menggunakannya.

“Sudah tentu rangkaian pengangkutan awam yang sempurna membolehkan lebih ramai rakyat di kawasan ini mendapat peluang untuk mengubah taraf ekonomi dan kualiti hidup mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini.


Beliau mengulas projek berjumlah RM50 juta bagi menaik taraf landasan kereta api di antara Stesen Halogilat dan Tenom yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2020, Jumaat lalu.

Sambil mengalu-alukan pengumuman berkenaan, Jamawi menjelaskan jaringan sistem pengangkutan awam yang baik mampu memberikan kesan positif kepada sektor lain seperti pelancongan dan pertanian.

“Pengumuman peruntukan sebanyak RM50 juta dalam Belanjawan 2020 untuk menaik taraf landasan kereta api di antara Halogilat dan Tenom bukan saja penting kepada penduduk setempat, malah mampu menggalakkan kedatangan pelancong.

“Ini kerana kereta api juga menyediakan pengangkutan alternatif kepada pelancong untuk berkunjung keTenom dan Kemabong sambil melawat beberapa tempat menarik di kawasan ini,” katanya.

Laluan di antara Halogilat dan Tenom yang merentasi kawasan lembah Sungai Padas adalah sebahagian daripada 134 kilometer sistem pengangkutan rel di Sabah yang bermula dari Kota Kinabalu dan berakhir di Tenom.

Projek menaik taraf landasan, terutama di antara Halogilat dan Tenom perlu bagi menggantikan landasan lama yang sudah usang serta memastikan pergerakan kereta api lebih lancar memandangkan ia satu-satunya pengangkutan awam di kawasan itu.

Dalam hal lain, Jamawi ketika hadir pada program bersama masyarakat di Kampung Magunsop, dekat sini, mengingatkan penduduk kawasan itu supaya mengekalkan perpaduan dan suasana harmoni ketika ini bagi memudahkan kerajaan membawa lebih banyak pembangunan.

0 ulasan:

Catat Ulasan