Isnin, 14 Oktober 2019

SABAH, SARAWAK MAHU PUTRAJAYA DEDAHKAN FORMULA PEMBERIAN KHAS

 

Rombongan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari dibawa melawat sekitar bangunan PPNS

KOTA KINABALU: Walau peruntukan dalam pemberian khas tahunan tidak seperti diharapkan, Kerajaan Sabah tetap berterima kasih terhadap Kementerian Kewangan atas kesungguhan Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, pemberian khas itu seharusnya memenuhi tuntutan hasil 40 peratus seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ia ditetapkan sebegitu ketika perjanjian itu disemak semula pada 1976.

Untuk itu, Kerajaan Sabah dan Sarawak ingin mengetahui formula digunakan Kementerian Kewangan dalam mengagihkan peruntukan bagi pemberian khas tahunan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020.

Mohd Shafie berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari semasa kunjungan tersebut

Beliau berkata, formula digunakan dalam Belanjawan 2020 ini tidak diketahui berdasarkan apa kerana Sabah dan Sarawak tidak pernah dimaklumkan mengenai formula yang digunakan dalam agihan pemberian khas dibawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Kerajaan Sabah seharusnya menerima peruntukan lebih besar kerana Sabah mempunyai kawasan yang lebih luas.

“Kita kena lihat kerangka keperluan negeri kerana Sabah merupakan negeri yang luas dan mempunyai penduduk yang agak besar jumlahnya. Maka, kita perlu kewangan yang jauh lebih besar dari apa yang diberikan.

“Bagaimanapun, kita sedar bahawa kedudukan kewangan Sabah agak terbatas namun, hasil diperolehi agak menurun dan kita berdepan bebanan hutang yang perlu dibayar,” katanya ketika ditanya mengenai Belanjawan 2020, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Media ketika menerima Kunjungan Hormat Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Mohd Shafie berkata, belanjawan dalam bidang pendidikan berjumlah kira-kira RM700juta untuk sekolah daif dan diharap peruntukan lebih banyak disalurkan kepada Sabah yang mempunyai lebih 500 sekolah daif yang perlukan pembinaan baharu dan penaiktarafan.

Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau mahu Kerajaan Persekutuan menyediakan formula tetap dalam mengagihkan hasil kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pemberian khas itu bermula dengan perbincangan dalam MA63, biarpun jumlah itu tidak seperti diharapkan namun, Sarawak tetap menerimanya.

“Namun kena ada formula yang betul. Ia tidak boleh diberikan secara one-off kerana ada peningkatan hasil diperolehi Keraaan Persekutuan. Pengiraan atas formula berkenaan.

“Orang kata susah sama susah dan senang sama senang. Namun, kita khuatir bila mereka senang, mereka lupakan Sabah dan Sarawak,” ujarnya.


0 ulasan:

Catat Ulasan