Rabu, 20 Februari 2019

MASYARAKAT BOLEH MAINKAN PERANAN BANTU POLIS TANGANI JENAYAH

Jamawi ketika ditemui media selepas merasmikan majlis tersebut

KEMABONG:Masyarakat diminta tidak membiarkan polis melaksanakan tugas secara bersendirian sebaliknya perlu bekerjasama membantu polis membanteras kegiatan jenayah di kawasan kediaman mereka.

Wakil Rakyat Kawasan Kemabong Jamawi Jaafar berkata, penyertaan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan kadar jenayah di sesuatu kawasan berkurangan.

Katanya, budaya cakna kepada persekitaran dalam komuniti setempat perlu diterapkan di dalam diri setiap masyarakat supaya tingkah laku tidak baik di kalangan masyarakat khususnya  generasi muda dapat dibendung lebih awal.

Jamawi beramah mesra bersama komuniti setempat.

"Polis tidak boleh bertindak bersendirian dan begitu juga dengan masyarakat. Apa yang penting ialah sikap saling perlu memerlukan bagi membentuk kekuatan supaya kawasan kediaman benar-benar bebas daripada jenayah.

"Masyarakat juga kena sama tegur menegur supaya apa yang tidak baik berlaku dalam kejiranan masing-masing tidak berleluasa dan menjadi semakin buruk," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Komuniti Polis Bersama Masyarakat di kampung Rundum Highlands Kemabong di sini baru-baru ini.

Turut hadir,  Ketua Polis Daerah DSP Tusib Tulas Pengerusi Lembaga Kebudayaan Sabah Haji Ismaily Bungsu dan pegawai Pendidikan Daerah Tenom

Tambah Jamawi yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan , kejadian jenayah akan mewujudkan persekitaran yang tidak selamat kepada masyarakat dalam meneruskan kehidupan seharian bukan sahaja di kawasan bandar malah di kawasan luar bandar

Sehubungan itu, jelas beliau, penglibatan masyarakat dapat mengurangkan bilangan kes jenayah di negeri ini terutama menyekat daripada kadar bilangannya semakin meningkat.

"Orang ramai bukan saja dapat membantu dalam mencegah kejadian jenayah, malah mereka adalah sumber kepada pihak polis dalam menyalurkan maklumat.

" Saya yakin pihak Polis sentiasa mengukuhkan hubungan baik dengan orang ramai untuk menjalinkan persefahaman bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka," jelasnya

0 ulasan:

Catat Ulasan