Rabu, 10 April 2019

UMNO SABAH TIDAK TERGUGAT DENGAN KEHADIRAN PBBM KE SABAH; BUNG

Ceria..Bung bersalaman dengan ahli ahli UMNO bahagian Tenom sejurus tiba untuk merasmikan mesyuarat tersebut.

TENOM:  Umno Sabah yakin walaupun PPBM sudah melebarkan sayap ke negeri itu, tetapi lebih 500,000 ahlinya tetap akan kekal setia  bersama parti itu.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin berkata, ahli Umno di negeri itu tetap bertahan malah akan bertambah walaupun 8 bekas pemimpinnya keluar parti dan menyertai PPBM pada 15 Mac lalu.

“Untuk makluman, selepas pembersihan peringkat pertama yang dijalankan, ahli kita (Umno Sabah) adalah seramai 556,616 orang.

“Jumlah itu bukan sahaja kekal, malah bertambah sedikit daripada sebelum pilihan raya umum ke-14,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok UMNO bahagian Tenom di bangunan UMNO bahagian itu baru baru ini.

Terus Berjuang ..Bung (tengah) bersama kepimpinan UMNO Sabah dan ahli ahli UMNO yang hadir ke mesyuarat tersebut .

Hadir sama Timbalan Pengerusi UMNO Sabah Datuk Yakub Khan,Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin, Bendahari UMNO Sabah Suhaimi Haji Nasir dan Pemangku Ketua bahagian UMNO Tenom yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Raimie Unggi

Umno Sabah dilaporkan mempunyai lebih 500,000 ahli di kesemua 26 bahagian di Sabah

Baru baru ini dilaporkan sekitar  30,000 orang menghadiri pelancaran parti PPBM Sabah di International Technology and Commercial Centre (ITCC) di Penampang oleh Perdana Menteri dan pengerusi parti itu,  Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mereka dilaporkan datang daripada semua lapisan masyarakat berbilang kaum dari seluruh Sabah.

Kebanyakan mereka dikatakan bekas ahli Umno Sabah, walaupun terdapat beberapa orang yang mendakwa tidak pernah menjadi ahli mana-mana parti dan PPBM merupakan parti politik pertama mereka.

Sebahagian dari perwakilan UMNO bahagian Tenom yang hadir ke mesyuarat tersebut

Menurut Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO , Umno Sabah tetap berpendirian bahawa kehadiran PPBM ke negeri itu tidak akan menggugat parti itu.

Menurut Bung ,UMNO Sabah akan terus melakukan pemutihan ahlinya, hanya ahli yang setia dalam perjuangan dikekalkan, bagaimana pun tambah beliau setakat ini belum ada cawangan cawangan UMNO di Sabah yang dibubarkan menunjukkan ahli UMNO masih setia dalam perjuangan mereka.

“Lebih penting ialah Umno Sabah akan turun ke bawah bagi mendekati rakyat memperjelaskan isu isu semasa terutamanya manifesto kerajaan Pakatan Harapan yang gagal ditunaikan dalam membela kepentingan rakyat. Kita sedia berhadapan mana-mana parti yang ada di sini,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan