Khamis, 27 Februari 2020

Sidang Dewan Rakyat khas 2 Mac untuk pilih Perdana Menteri baru


Gambar Hiasan 
PUTRAJAYA: Persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar).

Perdana menteri interim itu berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan.

”Pilihan raya mengejut akan diadakan sekiranya sesi Parlimen khas 2 Mac ini gagal mencapai majoriti sewajarnya untuk memilih PM,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di  Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. 

(KEMASKINI)

Dr Mahathir ditanya mengenai hasil pertemuan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada sebelah pagi hari ini.

“Sebagaimana yang diketahui, Seri Paduka telah meminta semua Ahli Parlimen memberi kenyataan kerana mereka telah membuat akuan berkanun tetapi baginda tidak pasti jadi baginda mahu mereka membuat kenyataan di hadapan baginda.

"Dan, selama dua hari ... hasilnya ialah Seri Paduka mendapati tiada siapa yang mempunyai majoriti ketara dan kerana baginda tidak memperoleh majoriti ketara, Seri Paduka bertitah forum yang tepat ialah Parlimen atau Dewan Rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau akan menerima sesiapa sahaja yang memperoleh majoriti sebagai perdana menteri.

"Saya tidak akan menjadi perdana menteri jika saya tidak dinamakan sebagai calon," kata negarawan berusia 94 tahun yang meletak jawatan sebagai perdana menteri ketujuh pada Isnin.

Peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada Isnin mengejutkan semua pihak berikutan sebelum ini beliau berulang kali menyatakan mahu kekal sebagai PM sehingga selepas Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC pada November.

Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim dan membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.

Mengenai kerajaan perpaduan yang dicadangkan, Dr Mahathir berkata sesiapa yang boleh mendapat sokongan majoriti akan menjadi perdana menteri dan memilih anggota Kabinetnya sendiri.

Beliau berkata dalam kerajaan, setiap Ahli Parlimen akan berpeluang dipilih sebagai anggota Kabinet selagi mereka layak dan ini termasuk Ahli Parlimen bebas.

"Walaupun, mereka (Ahli Parlimen) dari parti atau bukan parti, mereka sebagai individu.

"Sudah tentu, mereka masih mempunyai hubungan dengan parti-parti mereka tetapi mereka tidak boleh mewakili parti mereka. Mereka akan berkhidmat dalam portfolio mereka," katanya - BERNAMA


0 ulasan:

Catat Ulasan