![]() |
| Jamawi(tengah) bersama para penerima sumbangan tersebut. |
KEMABONG: Rakyat diminta supaya memelihara tradisi persefahaman dan toleransi antara kaum yang menjadi kunci kekuatan negara selama ini dengan tidak membenarkan mana-mana pihak mencetuskan api perkauman.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kemabong Jamawi Jaafar berkata ,tindakan membenarkan api perkauman dicetuskan pastinya akan meruntuhkan keharmonian negara yang telah terbina sejak sekian lama.
"Adalah amat penting kepada semua kaum untuk memelihara perpaduan dan keharmonian yang telah kita kecapi selama ini,
"Malah lebih daripada itu, kita mesti bersama-sama bekerja keras untuk membina negara khususnya negeri kita yang dicintai ini, berdasarkan sikap saling percaya mempercayai dan menjauhi rasa curiga biar pun setitik," katanya semasa berucap di majlis penyampaian sumbangan wang tunai dan hamper untuk kesemua 89 buah gereja di kawasan DUN Kemabong sempana sambutan Hari Natal dan Tahun Baru 2020 di Dataran Kemabong baru baru ini.
![]() |
| Jamawi ketika menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pengerusi gereja sempana majlis tersebut |
Menurut Jamawi Sabah merupakan negeri contoh dalam kontek memelihara perpaduan walaupun terdiri dari pelbagai kaum dan agama namun rakyat terus bersatu padu mengekalkan hubungan harmoni antara satu sama lain yang bukan sahaja perlu dilestarikan tapi dikekalkan selamanya
"Telah terbukti tidak ada sekatan, jauh sekali larangan kepada kaum-kaum di Malaysia untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing dan seterusnya meraikan perayaann secara besar-besaran" katanya
![]() |
| Jamawi berbual mesra dengan sebahagian daripada penerima sumbangan |
Jamawi berkata toleransi kaum yang menjadi teras kepada keamanan Malaysia sejak dahulu lagi akan dapat dikekalkan jika sikap saling faham-memahami, hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain terus menjadi amalan.
"Sesungguhnya sambutan Krismas amat bermakna kepada masyarakat Kristian kerana semangat yang dibawa bersama perayaan ini sering dikaitkan dengan kemakmuran dan kemurahan rezeki yang pasti akan meningkatkan kesejahteraan hidup" katanya
Sehubungan dengan itu Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan mengajak rakyat agar sentiasa mendukung perpaduan dan keharmonian antara kaum yang dinikmati selama ini.
"Semua pihak mempunyai tanggungjawab terhadap negara untuk menolak sebarang bentuk ugutan, keganasan atau tindakan ekstrem yang boleh menggugat keharmonian negara" katanya
Sambil mengucapkan selamat menyambut Hari Natal dan tahun baru 2020 kepada semua rakyat Malaysia ,Jamawi berharap semoga ianya dapat disambut dalam suasana keharmonian dengan mengekalkan budaya kunjungi mengunjungi dan berharap negara akan terus dilimpahi kemakmuran keharmonian dan kemajuan.









0 ulasan:
Catat Ulasan