Ahad, 19 Januari 2020

TERIMA HAKIKAT KEKALAHAN,JANJI TETAP DITUNAIKAN:SHAFIE

Shafie menerima cendra kenangan dari Ewon Bendedick selepas merasmikan program tersebut

KOTA BELUD: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberi jaminan semua perkara yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis akan ditunaikan walaupun pembangkang memenangi kerusi itu.

Ketua Menteri berkata, walaupun Parti Warisan Sabah (Warisan) kalah, namun kerajaan tetap tidak berubah, justeru segala bantuan kepada Kimanis akan tetap dilaksanakan kerana rakyat sangat memerlukannya.

“Tetapi yang penting oleh kerana kita mahu pastikan pembangunan dan saya beri jaminan walaupun kita kalah di Kimanis, saya teruskan untuk membantu rakyat di Kimanis, tidak bererti bahawa kita kalah kita tinggalkan, ini rakyat kita, kita kalah di Tambunan saya pergi Tambunan bagi sejuta buat gereja malahan saya buat peruntukan-peruntukan lain di kawasan itu.

“Jangan kita kalah, kita terus hukum mereka, jangan. Itu adalah keputusan rakyat dan saya dalam kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengundi di Kimanis yang telah mengundi parti Warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baru Kadamaian, Perasmian Dewan Kadamaian Square dan Pelancaran Pelan Pembangunan Kadamaian.

Dalam PRK Parlimen Kimanis semalam, Barisan Nasional (BN) melalui calon mereka, Datuk Mohamad Alamin berjaya menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.

Mohamad mendapat 12,706 undi manakala Karim menerima 10,677 undi dalam pertembungan satu lawan satu itu.

Mohd. Shafie berkata, semua pemimpin kerajaan tidak perlu terlalu bersedih dengan kekalahan itu sebaliknya menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka untuk memperbaiki lagi kelemahan-kelemahan yang ada.

Beliau mengingatkan setiap pemimpin agar menghormati keputusan rakyat itu dan terus bekerja keras membantu membangunkan Kimanis demi kebaikan masyarakatnya.

“Walaupun kita dalam keadaan kalah di Kimanis, jangan bimbang saya saya sudah menempuh banyak dalam hidup, sejarah kalah, tumbang dan naik balik, ini cuma satu pertempuran bukan perang, yang kita harus terima dengan baik kekalahan itu dan kita hormat keputusan rakyat Kimanis.

“Saya faham selaku pimpinan jangan kita menolak pasal itu kehendak rakyat, saya sudah melakukan proses demokrasi yang ada, kita merayu undi kalau begitu saya tidak paksa, kalau mereka tidak mahu tidak apa bagi kita,” tegasnya.




0 ulasan:

Catat Ulasan