![]() |
| BERTEMBUNG: Keadaan dua kenderaan selepas kemalangan di Kampung Landayan Kabidang Kilometer 10 Jalan Beaufort-Menumbok di sini. |
BEAUFORT: Akibat hilang kawalan, kereta yang dinaiki empat individu termasuk dua beradik polis dan tentera bertembung dengan sebuah kereta menyebabkan kedua-duanya parah dalam kejadian di Kampung Landayan Kabidang Kilometer 10 Jalan Beaufort-Menumbok di sini.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata kejadian kira-kira jam 1.20 petang itu berlaku apabila kereta kompak yang dinaiki dua beradik bersama sepasang suami isteri dalam perjalanan menuju ke Menumbok dari arah Kota Kinabalu.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta pelbagai guna yang datang dari arah Menumbok ke Beaufort.
"Impak kemalangan menyebabkan pemandu kereta kompak yang juga bekerja sebagai tentera darat berumur 30 tahun mengalami kecederaan parah iaitu patah kedua-dua kaki manakala abangnya yang berada di kerusi penumpang hadapan berumur 31 tahun yang bekerja sebagai polis turut patah tulang rusuk kiri serta cedera di bahagian tulang belakang dan pinggul," katanya.
![]() |
| Keadaan seorang mangsa yang cedera parah mendapat bantuan kecemasan awal dari pasukan Bomba |
Menurutnya dua lagi penumpang belakang yang juga pasangan suami isteri masing-masing mengalami kecederaan patah pada bahagian kedua-dua kaki serta cedera di bahagian kepala.
"Pemandu kenderaan pelbagai guna berumur 60 tahun yang juga pesara guru turut mengalami kecederaan patah di bahagian tangan kanan.
"Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Beaufort sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk rawatan selanjutnya," katanya.
Azmir berkata hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua pemandu tidak mabuk dan kejadian disebabkan pemandu kereta kompak yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke laluan bertentangan.
![]() |
| Remuk keadaan salah sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut |
Katanya siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.









0 ulasan:
Catat Ulasan