Selasa, 28 Januari 2020

Jangan Kaitkan USIA Dengan Politik

Sapawi (tiga dari kanan) berbual mesra bersama Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa yang turut hadir di majlis tersebut

BEAUFORT: Bersatu dalam dakwah. Itulah misi utama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Sipitang yang aktif melaksanakan pelbagai program dakwah dan pembangunan syiar Islam di peringkat akar-umbi.

Sehubungan itu, Ketua USIA Bahagian Sipitang Datuk Sapawi Hj Ahmad berharap tiada pihak mengaitkan pertubuhan itu dengan parti atau gerakan politik kerana statusnya adalah sebuah pertubuhan Islam semata-mata.

“USIA Bahagian Sipitang komited kepada usaha pembangunan dakwah. Kita bersatu dalam dakwah. Jangan bimbang dan jangan kata kita ini kononnya bersifat pembangkang,” katanya berucap pada Majlis Kesyukuran USIA Bahagian Sipitang di sini.

Lebih 300 ahli USIA Sipitang hadir pada majlis itu. Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa.

Sapawi,Hafez merakamkan gambar kenangan bersama ahli ahli USIA Bahagian Sipitang yang hadir ke majlis tersebut

Sapawi yang juga Ahli Majlis Tertinggi USIA Pusat berkata, kepimpinan pertubuhan itu di peringkat Pusat turut dianggotai oleh pemimpin dari berbagai latar belakang politik, termasuk parti politik pemerintah dan pembangkang di Sabah.

Beliau kesal kerana ada pihak yang menuduh USIA Sipitang sebagai gerakan politik, sebaliknya berharap semua pihak bersama-sama ke arah pembangunan dakwah dan ‘jangan sesekali takut dengan bayang-bayang sendiri.’

“Marilah kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan ke arah pembangunan dakwah dan syiar Islam,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan