
Atur Strategi .Shafie memperkatakan sesuatu kepada Hajiji,Arifin dan Timbalan Yusuf semasa sambutan Krismas 2020 Membakut.
MEMBAKUT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis membawa rahmat kepada politik Sabah apabila buat pertama kali, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor hadir berucap di pentas sama dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).
Kehadiran kedua-dua tokoh politik Sabah itu dalam majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2020 di Membakut tepat pada masanya untuk menunjukkan bahawa perpaduan antara Bersatu Sabah dan Warisan telah terjalin.
Lebih-lebih lagi, kerjasama itu perlu untuk memastikan Warisan dan Bersatu serta parti kerajaan lain dapat memenangkan calon Warisan yang berdepan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini, Hajiji yang menyertai Bersatu pada April tahun lalu telah beberapa kali mengkritik dasar pemerintahan Mohd. Shafie yang jelas memberi gambaran keengganan Hajiji untuk menghulur salam kerjasama kepada Ketua Menteri.
“Kita akan pastikan calon Warisan, Datuk Karim Bujang menang dalam PRK ini, kita harap saudara-saudara kita, pengundi kita di Kimanis tanpa kira kaum berilah peluang calon Warisan untuk menang.
“Kita mesti memberi ruang dan masa kepada parti Warisan, kerajaan Sabah di bawah pimpinan Mohd. Shafie untuk teruskan agenda pembangunan negeri Sabah demi masa akan datang,” katanya ketika berucap di majlis itu.
Hajiji yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, beliau tidak mahu lagi tenggelam dalam politik emosional, justeru tiba waktunya untuknya akur kepada pilihan rakyat Sabah dalam pilihan raya umum lalu yang memilih Warisan.
“Pada masa inilah kita berikan sokongan dan dokongan kepada Warisan dalam PRK ini, banyak perkara lagi kita mesti ingat, ingat masa depan kita, Sabah memerlukan satu perpaduan jitu di antara kerajaan dan parti komponen Pakatan Harapan (PH).
“Kerana apa yang penting kepentingan rakyat, pembangunan ekonomi rakyat tidak boleh bersandarkan kepada politk emosional yang sudah tidak relevan lagi di Sabah iaitu BN dan UMNO yang meletakkan calon di sini,” katanya.







0 ulasan:
Catat Ulasan