Jumaat, 14 September 2018

Wujudkan Kesepakatan Dalam Gerakan Dakwah:Jamawi

Jamawi menerima cendra kenangan dari Piduman selepas merasmikan mesyuarat tersebut

TENOM : Kekuatan Islam  dalam usaha dakwah dan sunah Rasulullah SAW  hanya akan dapat dilaksanakan sekiranya wujud kesepakatan dalam ikatan ukhuwah Islamiah.

Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) Jamawi Jaafar,berkata penglibatan pelbagai pihak untuk melakukan gerak kerja dakwah  memerlukan kesepakatan dan cara membentuk kesepakatan adalah menerusi hubungan baik antara agensi dakwah yang terdapat di negara ini.

Untuk itu menurut beliau , jalinan persahabatan yang kukuh dan kerjasama erat antara badan bukan kerajaan (NGO) yang melaksanakan usaha dakwah perlu disatukan

 “Jalinan ukhuwah yang baik ini sangat diperlukan dalam membentuk sebuah kerangka dakwah lebih baik, dalam masa sama dapat membantu mengukuhkan institusi Islam di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Agung Usia bahagian Tenom di Bilik Kuliah Masjid Ar Rahman dekat sini pagi kemarin
Ukhwah Jamawi bersama ahli jawatankuasa dan perwakilan Usia bahagian Tenom yang hadir ke mesyuarat tersebut

Turut hadir Ketua Usia bahagian Tenom Piduman Haji Abdul Majid,Naib Ketua Usia Bahagian Tenom Ajmal Haji Jumlah dan Penolong Setiausaha Belia Usia Imam Mohd Taslim Haji Tahir.

Menurut Jamawi yang juga Ahli Dewan  Undangan Negeri Kawasan Kemabong usaha dari mana-mana badan Islam termasuk NGO Islam  yang melaksanakan program dakwah yang selari dengan ajaran Islam dan tidak bertentangan dengan undang-undang negara perlu  dihargai dan diberikan sokongan

"Jadi kita tidak perlu gusar dan bimbang jika berlaku persaingan yang sihat antara NGO Islam di negeri ini dalam melaksanakan program dakwah kerana apa yang kita fokuskan
adalah program dakwah untuk masyarakat Islam bukannya untuk
kepentingan peribadi," katanya.
Amanat .Jamawi ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tersebut

Tambah Jamawi keperluan gerakan dakwah di negara ini amat mendesak dan NGO Islam perlu terus berkongsi kepakaran masing-masing memandangkan setiap NGO ada kelebihan tersendiri.

"Melalui kerjasama yang dijalankan ia saling lengkap melengkapi antara satu sama lain kerana sesuai dengan sifat
berdakwah iaitu saling bekerjasama," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, USIA perlu terus menggiatkan usaha dakwah secara menyeluruh dan berterusan di negeri ini.

Tambahnya, selain itu USIA juga perlu mencari pelbagai pendekatan baru bagi memastikan setiap program dakwah yang dijalankan berjaya mencapai matlamatnya

0 ulasan:

Catat Ulasan