Isnin, 6 April 2020

979 KIR dari Kemabong di Kota Kinabalu akan terima bantuan : Jamawi

Jamawi bersama tenaga sukarelawan memasukan barang barang bantuan ke dalam bakul untuk diagih-agihkan kepada penerima 

KOTA KINABALU : Seramai 979 Ketua Isi Rumah (KIR) berasal dari Kemabong yang bekerja dan menetap di Kota Kinabalu dan sekitarnya akan menerima bantuan keperluan asas daripada wakil rakyat mereka.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Jamawi Jaafar berkata pengagihan tersebut akan diagih  sesegera mungkin memandangkan kebanyakkan penerima terdiri daripada golongan berpendapatan rendah termasuk ada sebahagian yang bergaji hari.

Katanya, pengagihan tersebut akan dikendalikan oleh sukarelawan (masyarakat Kemabong sendiri) yang mewakili beberapa zon di sekitar daerah Kota Kinabalu.

 "Sukarelawan ini akan mengagihkan bantuan berupa keperluan asas terus kepada penerima di rumah masing-masing. Mereka (penerima) tidak perlu berkumpul untuk bantuan ini kerana sukarelawan kita akan menghubungi mereka (penerima) nanti, " katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediaman beliau di ibu negeri kelmarin bagi menyelaras keperluan asas untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

Barang keperluan makanan yang sudah disusun untuk proses agihan oleh sukarelawan kepada penerima 

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi turut mengingatkan orang ramai khususnya masyarakat Kemabong supaya tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat yang tidak sahih sehingga mencetuskan kekeliruan.

Sebagai contoh, katanya, penyebaran mengenai bantuan PRIHATIN yang dikatakan telah dikreditkan ke akaun bank masing-masing dan perkara ini membuatkan orang ramai berpusu-pusu ke bank masing-masing untuk membuat pengeluaran.

"Perkara ini bukan sahaja akan menyusahkan diri sendiri (kesukaran pengangkutan untuk masyarakat di pedalaman) tetapi juga mendatangkan risiko kepada rakyat untuk terdedah dengan virus Covid-19.

"Kita faham dengan keadaan mereka (yang memerlukan wang), namun jangan kelam kabut untuk membuat pengeluaran (wang) kerana hari berikutnya masih boleh membuat urusan, " katanya.

Warga Kemabong yang tinggal di Kota Kinabalu berkerja sama menyusun barang keperluan makanan yang bakal diagihkan 

Selain itu, Jamawi turut memberi peringatan kepada masyarakat supaya tidak bersikap dingin kepada individu serta ahli keluarga yang dipercayai dijangkiti Covid-19 (dikuarantin) namun belum disahkan positif.

"Sebaliknya masyarakat harus memberikan kata-kata semangat daripada terus memberi perspektif negatif kerana saya yakin tiada pihak yang mahu dijangkiti dengan virus tersebut, " katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan