Rabu, 18 September 2019

MASYARAKAT PERLU MAIN PERANAN PERTAHANKAN BUDAYA DAN BAHASA :ZULKHAIRI


Zulkhairi menyampaikan hadiah johan pertandingan kepada Hennylia Hendry yang mewakili SMK Tulid Sook dalam pertandingan tersebut.

KENINGAU:  Masyarakat perlu terus memainkan peranan mempertahankan warisan kebudayaan termasuk bahasa, sastera, pemikiran, falsafah dan kesenian yang merupakan elemen penting untuk membina peradaban selain melahirkan modal insan cemerlang.

Pengurus Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Utara Zulkhairi Haji Ismail  berkata, sesebuah negara tidak boleh lari daripada identitinya terutama dalam aspek pembangunan kebudayaan dan untuk itu usaha memartabatkan seni warisan negara perlu diteruskan.

Zulkhairi menyampaikan sijil penghargaan kepada guru guru. yang terlibat dalam penganjuran pertandingan tersebutm

Beliau berkata, sebagai contoh pantun Melayu telah berkembang dengan baik melalui pengaruh liku-liku sejarah peradaban masyarakat sekeliling, pandangan masyarakat serta kreativiti ciptaan bangsa Melayu.

Begitu juga bahasa yang melambangkan identiti sesuatu bangsa yang perlu dipertahankan walaupun melalui pelbagai zaman dan cabaranya.

“Melalui penganjuran program seumpama ini, kerajaan berharap ia akan dapat memperkenalkan dan memberi pendedahan serta menghidupkan semula warisan  budaya dan bahasa kepada genarasi  muda khususnya belia, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya.

Zulkhairi(tengah) merakamkan gambar kenangan bersama para pelajar dan guru guru yang terlibat dalam pertandingan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Pidato Pelajar Bahasa Kadazan Dusun anjuran Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Utara dengan kerjasama pejabat Pendidikan Daerah Keningau di Dewan Salingkawang Pusat Kraftangan Sabah Keningau kemarin.

Seramai 12 orang peserta mewakili beberapa buah sekolah di daerah Keningau menyertai pertandingan tersebut

Menurut Zulkhairi pendekatan seperti pertandingan tersebut dilihat  penting memandangkan bahasa ibunanda  semakin dilupakan dan tidak diamalkan terutamanya dengan perubahan persekitaran yang lebih tertumpu kepada media sosial.

Menurutnya, masyarakat berbilang bangsa di negara ini amat memerlukan tunjang seni sebagai santapan jiwa selain menjadikan elemen itu sebagai teras dalam sosiobudaya rakyat tempatan dan juga Nusantara.

“Dalam konteks ini, kefahaman dan penghayatan terhadap pelbagai aspek tentang jati diri juga perlu diperluas terutamanya di kalangan belia melalui penyebaran dan pengembangan ilmu.

“Justeru, saya menyambut baik usaha yang dilaksanakan melalui penganjuran pertandingan ini dan kerjasama beberapa pihak menangani arus perubahan dan cabaran semasa dengan menerapkan kesedaran seni budaya dan bahasa  dalam memartabat dan memantapkan jati diri seni warisan melalui kegiatan kesenian dan bahasa ” katanya.

Zulkhairi  menambah bangsa yang berjaya adalah Bangsa yang berpegang teguh Kepada akar budaya  dan  ingat akan asal usulnya.




0 ulasan:

Catat Ulasan