Azhar menyampaikan sumbangan kerusi roda
KOTA KINABALU: Program ‘MANGKUAYA’ atau Gotong-royong Sekampung akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.
Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Azhar Matusin berkata Kampung Wak-Wak Gentisan Sepanggar terpilih bagi program pelancaran peringkat pertama kemudian akan diperluaskan di seluruh kampung di peringkat Dun Karambunai.
Katanya, pengisian program ini adalah berkonsepkan turun padang dengan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) sekaligus menyedia peralatan untuk membaiki rumah usang di kawasan kampung berkenaan.
“Hari ini juga kita bawa beberapa peralatan yang dikenalpasti sangat diperlukan penduduk kampung termasuk kerusi roda serta kelengkapan lain untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Istilah Mangkuaya ini adalah dalam bahasa Bajau Samah sangat bertepatan dengan konsep ini sekaligus membolehkan pemimpin mendekatkan diri kepada masyarakat kampung untuk mendengar permasalahan mereka,”katanya.
| Azhar bersama Dr Roland menikmati bubur disediakan penduduk kampung. |
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Mangkuaya peringkat DUN N12 Karambunai, di Kampung Wak-Wak Gentisan, di Kota Kinabalu pagi tadi.
Hadir sama Ketua Penaja Bersatu Bahagian Sepanggar, Mohd Razali Mohd Razi serta Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sepanggar, Dr Roland Chia.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai berkata lebih unik program ini iaitu semua tenaga kerja sukarela adalah dalam kalangan penduduk serta pemimpin masyarakat di kampung berdekatan.
“Kita juga akan bersama-sama penduduk kampung untuk membaiki jambatan serta laluan pejalan kaki yang usang selain melawat dan mendapatkan maklumat penduduk kampung yang memerlukan bantuan segera,”katanya.
Selepas ini program sama akan diperluaskan dibeberapa kampung lain di dalam Dun Karambunai bagi memastikan masalah penduduk kampung dapat diselesaikan secara berperingkat-peringkat.
“Kita yakin konsep Mangkuaya yang perkenalkan ini akan menepati sasarannya sekaligus memberi manfaat kepada seluruh penduduk di kawasan Dun Karambunai,” katanya.
Oleh:Zakaria Damit






0 ulasan:
Catat Ulasan