Isnin, 2 September 2019

GENERASI muda perlu disemai semangat cintakan tanah air


Jamawi ketika berucap di majlis tersebut

KEMABONG: Semangat 
patriotisme dan cintakan negara bukanlah perkara yang mampu timbul sendiri dalam diri setiap individu.

Ia perlu dipupuk dan disemat dalam diri seseorang sejak kecil lagi, agar jiwa mereka sebati dengan semangat cintakan negara.

Wakil Rakyat Kawasan Kemabong Jamawi Jaafar berkata ianya amat penting terutama dalam kalangan generasi muda kerana mereka perlu sedar bahawa keamanan dan kesejahteraan negara yang mereka kecapi hari ini bukan datang secara percuma.  

"Generasi muda tidak pernah melalui pahit getir zaman darurat, mereka lahir dan hidup dalam era diwarisi daripada generasi sebelumnya yang terpaksa mempertaruhkan nyawa mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara.

"Mereka tidak tahu apa erti sebenar sebuah perjuangan dan pengorbanan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan berkata demikian ketika berucap di majlis  Sambutan Kemerdekaan di kampung Sugiang Tengah kemarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Tenom Puan Norita Sual 

Jamawi menerima cendra kenangan dari penganjur .

Sehubungan dengan itu menurut Jamawi rakyat terutamanya generasi muda perlu mengekalkan hubungan harmoni dan semangat perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

Katanya, sebarang isu yang boleh menimbulkan kebencian antara kaum perlu dielak pada saat toleransi antara kaum kini dalam keadaan yang rapuh.

"Umum mengetahui ada pihak yang cuba menyemai semangat perkauman dan kebencian. Ini adalah perkara yang tidak wajar berlaku dalam sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama" katanya 


Jamawi melakukan sepak mula pertandingan bola sepak yang turut diadakan sempana program tersebut

Tambah Jamawi adalah amat penting untuk rakyat bersama-sama berusaha keras menyemai semangat patriotisme, hormat menghormati antara kaum dan agama serta bertolak ansur di samping mewujudkan masyarakat yang cinta negara dan saling bekerjasama mengekalkan kedaulatan negara.

0 ulasan:

Catat Ulasan