Jumaat, 27 September 2019

ADUN Labuk PBS sertai Warisan





TERIMA: Shafie (tengah) menerima borang penyertaan Warisan daripada Abdul Rahman, turut kelihatan ialah Naib Presiden Warisan Datuk Peter Anthony (empat kiri), Setiausaha Agung Warisan Loretto S Padua Jr (dua kanan) dan Bendahari Agung Warisan Terence Siambun (kanan).


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk Abdul Rahman Kongkawang meninggalkan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, penyertaan beliau turut disertai tiga Ketua Cawangan PBS di kawasan Labuk iaitu Nordin Lamsnih, Saharan Marpidi dan Tamiang Saraman.

"Selain itu, turut menyertai Warisan ialah ahli jawatankuasa (AJK) Wanita PBS Labuk, Fency Mirsoh; AJK Pemuda PBS Labuk, Sunny Silva Raja; bekas penolong pegawai daerah Beluran, Jamai Sikansa; AJK UMNO Beluran, Abdul Rahim Diar dan ahli UMNO Beluran, Andaraman Kahar.

"Mereka bersepakat untuk keluar dari parti masing-masing dan kita selaku pimpinan Warisan terima mereka dengan hati terbuka untuk menyertai perjuangan Warisan," katanya dalam sidang media khas di sini, semalam.

Beliau berkata, penyertaan itu membolehkan satu landasan diwujudkan bagi membolehkan Labuk diberikan tumpuan menerusi ADUNnya.

"Dengan penyertaannya, Warisan kini mempunyai 32 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

"Usaha kita adalah ingin menyatukan rakyat Sabah...bukan sahaja membangunkan negeri ini tetapi juga satukan kaum yang berbagai, agama dan bangsa seterusnya fokus kepada pembangunan Sabah dapat dijayakan," katanya.

Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, penyertaan Abdul Rahman ke dalam Warisan adalah tanpa bersyarat sebaliknya secara sukarela untuk bersama-sama kerajaan Sabah hari ini membangunkan negeri ini.

Katanya, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kepada ADUN-ADUN untuk menyertai Warisan tetapi ianya perlu ditapis terlebih dahulu.

"Kalau kita rasa mereka ada pengalaman dan berkeupayaan diterima rakyat maka kita terima dalam memperjuangkan kepentingan Sabah secara keseluruhan.

"Kita meneliti terdahulu dan bukannya suka-suka hati terima," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, tujuan menyertai Warisan adalah bagi memastikan dua daerah

di Labuk khususnya Telupid dan Beluran mendapat pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, hasrat untuk menyertai Warisan sudah disampaikan kepada pimpinan PBS dan mereka harus menerima kenyataan berkenaan.

"Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberikan peluang kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk menyertai Warisan.

"Kemasukan ini tidak mempunyai syarat tetapi hanya ikhlas dari kami," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan