Sabtu, 18 Mei 2019

KHATAM PERDANA AL QURAN TAHUN DEPAN DI MEMBAKUT

Arifin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga kurang upaya sempana
Majis tersebut


MEMBAKUT : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Membakut, Datuk Arifin Arif bercadang untuk melaksanakan program Khatam al-Quran Perdana pada tahun hadapan sebagai usaha mengembangkan lagi syiar Islam khususnya di kawasan Membakut.

Beliau berkata, ia bertujuan memastikan umat Islam terutama golongan mualaf terlibat secara langsung dalam program keagamaan.

Jelas beliau lagi, selain daripada ilmu pendidikan, soal agama juga perlu diambil perhatian yang serius bagi memastikan umat Islam khususnya dapat mempraktikkan amalan yang baik dalam kehidupan seharian.

"Saya bercadang untuk melaksanakan program Khatam al-Quran Perdana tahun depan dan saya harap semua masyarakat Islam yang hadir pada hari ini dapat mempersiapkan diri untuk menyertai program itu nanti, " katanya.

Arifin (tengah) bersama penceramah dan sebahagian dari peserta program tersebut

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Forum Semarak Ramadhan Bersama Saudara Kita di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping pada Sabtu.

Dalam pada itu, Arifin turut menggesa persatuan mualaf di kawasan Membakut supaya kekal aktif dengan melaksanakan program-program bermanfaat.

Beliau menyarankan supaya persatuan-persatuan yang sedia ada dapat merangka program-program yang mampu melibatkan anak-anak muda.

Dalam perkembangan berkaitan, Arifin memberitahu beliau akan terus bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lainnya untuk melaksanakan program-program keagamaan.

Beliau berkata kerjasama tersebut bukan sahaja untuk program-program dakwah tetapi juga aktiviti lain yang dilihat mampu memberi manfaat sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup mereka.

Pada majlis itu, Arifin turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan kepada lebih 409 golongan mualaf.



0 ulasan:

Catat Ulasan